Mobile Legend kini mempunyai komuniti yang sangat besar dan semakin berkembang. Komuniti yang besar ini semestinya merangkumi pemain daripada pelbagai negara dan budaya. Oleh itu, sudah pasti terdapat perbezaan sama ada budaya dan cara pergaulan. Namun itu bukan alasan untuk para pemain bermain secara aman dan harmoni.
Isu yang paling kerap didengari ialah isu berkenaan pemain yang kurang adab semasa bermain. Adab dalam tutur kata khususnya. Saya juga tidak terkecuali daripada berjumpa pemain seperti ini. Sehingga saya juga turut terjebak. Masalah ini boleh dikatakan berjangkit dikalangan pemain dan merebak serata komuniti Mobile Legends.
Sememangnya perkara ini tidak bagus untuk imej komuniti Mobile Legends dan imej pemain itu sendiri. Orang lain akan memandang serong terhadap pemain game ini termasuk pemain yang tidak berkelakuan demikian.
Jadi disini saya mahu meminta para pemain sama-sama mengubah sikap kepada lebih baik. Kurangkan dan seterusnya elakkan tabiat memaki hamun pemain lain sehingga keluar perkataan yang tidak sepatutnya. Sebaliknya cuba belajar untuk memberi nasihat, tunjuk ajar dan sokongan untuk menjadikan pemain lain lebih bagus.
Kita boleh maki semahunya, tapi adakah dengan memaki itu dapat menjadikan orang yang dimaki itu pemain yang lebih baik? Adakah dengan memaki itu dapat menjadikan kita sendiri pemain yang lebih baik? Saya tak rasa begitu. Sebaliknya dengan memaki itu cuma akan menyambung rantaian toksik yang meracuni komuniti Mobile Legends.
Oleh itu ayuh putuskan rantaian toksik ini. Kita bina komuniti pemain yang beradab dan saling menyokong dan memberi tunjuk ajar supaya kita dapat menikmati permainan yang lebih berkualiti tanpa rasa tertekan dan sakit hati.
Selain itu, hormatilah sesama pemain. Belajar juga untuk bertoleransi dengan orang lain. Mungkin nanti kita juga akan berada dalam situasi orang yang kita maki. Jadi cubalah memahami dan mengalah.
Belajar untuk menyesuaikan diri dengan situasi. Contohnya, jangan hanya bergantung pada satu hero sahaja. Ambil masa untuk memahirkan diri dengan hero dan peranan lain. Percayalah, pasti anda akan dapat mendaki rank dengan lebih mudah nanti apabila anda mahir pelbagai hero dan peranan.
Tidaklah kesemua sekali, mungkin mahir 3 atau 4 peranan juga sudab memadai. Faedahnya ialah anda tidak perlu berebut dengan pemain lain. Anda juga akan lebih memahami peranan dan hero lain semasa bermain jadi anda mampu untuk membaca permainan lawan.
Luang masa bermain di mode custom atau vs A.I untuk mengasah kemahiran anda bermain dan mengendalikan hero. Disitu juga anda boleh bereksperimentasi dengan item, pergerakan dalam peta, farming dan bermacam lagi. Terserah kepada anda dan anda tidak akan dimaki di mode-mode tadi.
Marilah hapuskan sikap toksik dalam komuniti Mobile Legend dan bermain dengan aman dan harmoni. Harap membantu dan selamat berjuang!!!💪
Comments
Post a Comment